Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Tiga rumah musnah terbakar di Kampung Sarip

LAHAD DATU: Tiga rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Silam, Kampung Sarip, di sini, malam tadi, namun tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.05 malam.

Katanya, seramai 21 anggota bersama beberapa jentera termasuk FRT, CFRT, EMRS, Triton dan DMAX dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran berkenaan membabitkan tiga buah rumah.

“Rumah pertama berkeluasan 40×60 kaki persegi terbakar 100 peratus, rumah kedua (30×40 kaki) terbakar 30 peratus, manakala rumah ketiga (30×40 kaki) terbakar 60 peratus,” katanya dalam kenyataan media hari ini. 

Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan kaedah ofensif dengan satu aliran sepanjang 400 kaki dan dua pancutan sumber air terbuka dari laut berhampiran.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.11 malam sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.56 malam selepas memastikan kawasan selamat,” katanya.

Sumsoa berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – SABAH MEDIA / FOTO JBPM

LEAVE A RESPONSE