Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Tiga peniaga dikompaun dalam operasi bersepadu KPDN Beaufort

Read Time:1 Minute, 8 Second

BEAUFORT : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort mengeluarkan tiga kompaun serta-merta terhadap peniaga yang didapati melanggar peruntukan undang-undang dalam operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar daerah ini, pada Selasa.

Operasi berkenaan melibatkan seramai tujuh pegawai penguat kuasa KPDN Beaufort dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Beaufort, bagi menjalankan pemeriksaan harga, bekalan barangan keperluan asas serta pematuhan akta-akta di bawah seliaan KPDN.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Beaufort Julie Julhani berkata, tiga tindakan kompaun itu dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) serta Akta Timbang dan Sukat 1972 (ATS 1972) hasil kesalahan yang dikesan semasa pemeriksaan dijalankan.

Menurutnya, secara keseluruhan, pemeriksaan mendapati kebanyakan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan khususnya berkaitan penandaan harga barangan serta penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan bagi tujuan perdagangan.

“Operasi ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang, melindungi hak pengguna serta mengelakkan sebarang bentuk pencatutan dan penyelewengan dalam urus niaga,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam operasi sama, PKK Beaufort turut mengeluarkan lapan notis kompaun terhadap premis yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Julie berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan persekitaran perniagaan yang adil dan teratur.

Selain itu katanya, operasi itu turut memberi kesedaran kepada peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN BEAUFORT

LEAVE A RESPONSE