Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Tiga maut, tiga parah kereta terbabas di Jalan Sandau

Read Time:1 Minute, 6 Second

LAHAD DATU: Tiga maut manakala tiga lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum terbalik di Batu 18, Jalan Sandau Lahad Datu–Sandakan, di sini, petang Khamis.

Mangsa, Erna Jamalddin, 36; Harlina, 38; dan Rajuddin, 41, disahkan maut di lokasi kejadian. 

Manakala tiga lagi mangsa, Sudirman, 43; Marani Halaking, 46; dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang belum dikenal pasti identitinya dilaporkan parah. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.05 petang.

Menurutnya, seramai lapan anggota bersama dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga BLM terbabas sendiri dan terbalik. 

“Semua enam mangsa didapati telah tersepit di dalam kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis. 

Beliau berkata, pasukan bomba menggunakan peralatan khas ‘rescue tools RTA’ untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tiga lagi mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sumsoa berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.27 petang selepas kawasan kejadian disahkan selamat.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JBPM

LEAVE A RESPONSE