Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Tiga lelaki ditahan kes pukul, acu pedang samurai

Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh Ahmad Husnayan

TAWAU: Tiga lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul menggunakan tali pinggang dan diacukan pedang samurai dalam kejadian di kawasan T2@Apas, Takada, baru-baru ini.

Penahanan terbaharu itu menjadikan keseluruhan lima individu ditahan setakat ini selepas dua suspek pertama diberkas minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata hasil siasatan terhadap dua suspek terdahulu membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki berusia 30 hingga 38 tahun di sekitar Pusat Komersial Ba Zhong kira-kira jam 2 petang, semalam.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit secara langsung dalam kejadian yang menyebabkan mangsa berusia 32 tahun mengalami luka di pipi kiri dan sakit di bahagian belakang badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 11 Oktober lalu, ketika mangsa berada di hadapan sebuah kedai snuker di T2 Takada.

“Mangsa tiba-tiba didatangi kira-kira lapan lelaki tidak dikenali bersenjatakan tali pinggang dan pedang samurai sebelum dipukul tanpa sebab yang jelas,” katanya.

Jasmin berkata, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 22 dan 23 tahun ditahan pada 15 Oktober lalu, dan seorang daripada mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil siasatan lanjut, polis menahan tiga lagi suspek termasuk seorang penjawat awam negeri, manakala dua daripadanya mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah berat dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu termasuk penjawat awam yang bertindak ganas serta mengancam keselamatan awam.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang kegiatan jenayah,” katanya.

LEAVE A RESPONSE