Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Tiga inisiatif baharu jadi sandaran KPLB tingkatkan kualiti hidup luar bandar


Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan memberikan penekanan utama kepada tiga inisiatif baharu iaitu Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (Belba), Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (Balba), dan Projek Jambatan Kecil Luar Bandar (JKLB), pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Rubin Balang, berkata ketiga-tiga program ini dirangka khusus untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar melalui penyediaan akses kritikal kepada sumber tenaga, air bersih, dan jaringan pengangkutan yang selamat.

“Fokus KPLB adalah meneruskan program-program yang meliputi pembangunan kemudahan asas, pengukuhan komuniti, dan pentadbiran daerah yang kritikal selaras dengan peranan kritikal KPLB sebagai peneraju pembangunan luar bandar di negeri ini.

“Bagi mencapai hasrat ini, Kementerian saya kekal komited untuk memastikan rakyat Sabah mendapat akses saksama kepada kemudahan asas, dan peluang ekonomi yang adil, serta kualiti hidup yang lebih baik,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Rubin berkata Kerajaan Sabah telah memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan BELBA dengan menumpukan Mikro Hidro Elektrik dan Sistem Hibrid Solar Fasiliti, untuk membekalkan elektrik berskala kecil kepada kawasan luar bandar di luar capaian grid utama.

“Pelaksanaan BELBA bukan sahaja memberikan bekalan elektrik yang stabil dan mesra alam bagi keperluan harian komuniti, malah menyumbang secara langsung kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan keseluruhan rakyat luar bandar,” katanya.

Pada tahun hadapan juga, KPLB memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan BALBA dengan fokus utama kepada pembinaan sistem air sumber bawah tanah dan pembinaan baharu sistem air graviti.

“Ini penting untuk memenuhi keperluan air bersih di kawasan luar bandar yang berada di luar rangkaian paip Jabatan Air Negeri Sabah. Skopnya adalah untuk menyediakan bekalan air bersih di kawasan luar bandar yang berdepan kekangan sumber dan belum mempunyai liputan paip terawatt yang menyeluruh,” katanya.

Bagi projek Jambatan Kecil Luar Bandar (JKLB) pula, Rubin berkata ia akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta, bertujuan untuk membina baharu dan menaiktaraf jambatan kecil di kawasan luar bandar yang sukar diakses, terutamanya yang tidak dapat ditampung di bawah perancangan agensi teknikal lain.

“Skop JKLB merangkumi pembinaan jambatan gantung, jambatan laluan kenderaan (lima tan), dan lintasan paras rendah (low-level crossing).

“Sasaran utama ialah di daerah-daerah lebih kritikal. Projek ini dijangka memberi impak langsung terhadap mobiliti, peluang ekonomi, dan kesejahteraan masyarakat luar bandar,” katanya.

Menurut Rubin, pelaksanaan program baharu yang berimpak tinggi itu dijangka memberi kesan mendalam terhadap peningkatan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

LEAVE A RESPONSE