Read Time:1 Minute, 6 Second
SUKAU : Penantian selama lebih tiga dekad akhirnya berakhir buat 56 penduduk dari Kampung Tidung II dan Kampung Dagat apabila mereka menerima Permit Tanah Anak Negeri, sekali gus menamatkan penantian panjang untuk memiliki tanah sendiri.
Majlis penyerahan permit tersebut disempurnakan oleh Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sukau Dato’ Juhari Janan, dalam satu majlis yang diadakan di sini baru-baru ini.
Turut hadir dalam majlis anjuran Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Sukau itu ialah Ketua Daerah Sukau, OKK Ramsah Jakaria.
Dalam ucapannya, Juhari menegaskan bahawa kejayaan ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam memastikan kebajikan rakyat luar bandar terus terbela.
“Kerajaan GRS tidak pernah gagal dalam mentadbir urus kerajaan. Kami akan terus komited membantu penduduk luar bandar memiliki tanah sendiri sebagai asas kepada kesejahteraan dan pembangunan komuniti,” katanya.
Menurut beliau, penyerahan 56 geran tanah itu bukan sahaja memberi kelegaan kepada penduduk terlibat, tetapi juga menjadi simbol usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh hak milik tanah rakyat Sabah.
“Dengan memiliki tanah sendiri, rakyat akan lebih yakin untuk membangunkan kehidupan dan ekonomi keluarga secara berterusan,” tambahnya.
Inisiatif itu turut diharap dapat menjadi pemangkin kepada kesejahteraan dan kemajuan komuniti setempat, selaras dengan agenda kerajaan negeri memperkasa rakyat luar bandar melalui dasar pembangunan seimbang dan inklusif. – SABAH MEDIA






