Read Time:1 Minute, 14 Second
KOTA KINABALU: Siasatan segera akan dijalankan berhubung penyebaran gambar tular memaparkan al-Quran dipijak serta diconteng dengan lukisan tidak senonoh yang dimuat naik di media sosial.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang menghina agama Islam.
Beliau menyifatkan tindakan terbabit sebagai biadab, melampau serta cuba mencemarkan maruah agama dan mengguris perasaan umat Islam.
“Perbuatan ini adalah tindakan biadab dan melampau kerana ia cuba mencemarkan maruah agama serta boleh menggores perasaan orang Islam.
“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang perlu diambil terhadap individu yang terlibat.
“Saya meminta pihak berkuasa khususnya Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas gambar yang tular dan dimuat naik di aplikasi Threads gambar memaparkan al-Quran dipijak dan diconteng dengan lakaran yang menghina Nabi Muhammad SAW yang didakwa dilakukan oleh seorang individu berasal dari Sabah.
Arifin yang juga Exco Agama Sabah berkata perbuatan melampau seperti itu boleh menimbulkan keresahan serta kemarahan dalam kalangan umat Islam sekali gus berpotensi menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat dapat menghadapi isu berkenaan dengan sabar dan tenang serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Saya berharap masyarakat bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang yang sedia ada dengan segera,” katanya.






