Read Time:1 Minute, 42 Second
BEAUFORT: Satu terusan baharu sepanjang kira-kira tujuh kilometer dicadangkan untuk dibina dari Kampung Suasa bagi mengurangkan limpahan Sungai Padas yang sering mengakibatkan banjir di beberapa kampung di daerah ini sejak semalam.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslam Muharam berkata, selain pembinaan terusan itu, beberapa sungai lain turut dicadang untuk diperbesar dan didalamkan bagi memastikan aliran air dapat mengalir dengan lebih lancar.
Menurutnya, cadangan pembinaan terusan berkenaan merupakan antara langkah jangka panjang yang dilihat mampu mengurangkan impak limpahan air sungai, meskipun tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah banjir di kawasan terlibat.
“Hari ini kita bersama beberapa agensi kerajaan bagi meneliti situasi semasa. Kita mencadangkan pembinaan satu laluan atau terusan dari Kampung Suasa menghala ke Sungai Bambangan sepanjang lebih kurang tujuh kilometer yang akan terus mengalir ke dasar laut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau beberapa kawasan yang dinaiki air sejak semalam.
Ruslam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, selain pembinaan terusan baharu, beberapa sungai sedia ada turut dicadangkan untuk dibesarkan dan didalamkan bagi mempercepatkan aliran air keluar ke Sungai Klias sebelum ke laut.
“Antara sungai terlibat ialah Sungai Kebunau dan Sungai Gadong yang ketika ini didapati semakin cetek dan sempit berikutan pemasangan struktur oleh penduduk serta perubahan fizikal sungai berbanding dahulu.
“Turut dicadangkan kerja-kerja pembesaran dan pendalaman di Sungai Nusung, Sungai Kebajang, Sungai Gemarit Lago yang melalui Kuala Balai, Indomadi dan Padas Damit sebelum ke Bintuka, serta Sungai Rantis di Jalan Bangkalalak.
“Semua sungai ini akan disambungkan alirannya ke Sungai Klias dan seterusnya ke laut. Dengan adanya lebih banyak laluan keluar, kita harap air yang melimpah dari Sungai Padas dapat surut lebih cepat dan paras banjir tidak terlalu tinggi,” katanya.
Beliau berkata cadangan tersebut telah dikemukakan di peringkat daerah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membuat pengiraan kos sebenar sebelum dibawa ke peringkat negeri dan Persekutuan bagi mendapatkan peruntukan.
Dalam perkembangan sama, Ruslam berkata pihaknya turut mencadangkan supaya aras beberapa jalan yang sering ditenggelami air dinaikkan bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan, khususnya untuk penghantaran bekalan keperluan ketika banjir. – SABAH MEDIA






