Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Tenom daerah keempat di Sabah diisytihar kawasan bencana banjir dan tanah runtuh

KOTA KINABALU : Daerah Tenom menjadi daerah keempat di Sabah diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir dan tanah runtuh berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tenom Alexander Liew berkata, pengisytiharan itu dibuat pada jam 3 petang tadi.

“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir dan tanah runtuh di daerah Tenom,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, sehingga jam 4 petang tadi, jumlah mangsa terjejas banjir terus meningkat kepada 619 orang melibatkan 220 keluarga.

Antara daerah yang dilaporkan terjejas adalah di Beaufort; Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Di Beaufort, mangsa yang berlindung di Pusat Penempatan Kekal (PPK) Selagon adalah seramai 355 orang melibatkan 124 keluarga.

Manakala di Kota Kinabalu, seramai 188 orang melibatkan 67 keluarga dilaporkan masih berlindung di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Masjid Al-Munir Kampung Darau.

Di Kota Belud, seramai 76 mangsa melibatkan 29 keluarga kini berlindung di dua PPS yang diaktifkan iaitu di Dewan Kampung Lentigi dan Dewan Masyarakat Tun Said. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE