Read Time:1 Minute, 7 Second
TAWAU: Kawasan Parlimen di Tawau wajar ditambah kepada dua bahagian baharu susulan peningkatan ketara jumlah pengundi yang kini melebihi 80,000 orang.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan berkata, situasi itu menunjukkan keperluan mendesak untuk menilai semula pembahagian kawasan sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih berkesan.
Menurutnya, jumlah pengundi yang tinggi bukan sahaja menambah beban tugas wakil rakyat dari segi liputan kawasan, malah menjejaskan keupayaan untuk mendekati pengundi di peringkat akar umbi.
“Cadangan mewujudkan dua Parlimen baharu di Tawau adalah langkah wajar bagi memastikan setiap kawasan mendapat perhatian lebih seimbang dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, hari ini.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, secara ideal satu kawasan Parlimen seharusnya mempunyai sekitar 40,000 hingga 50,000 pengundi bagi memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat.
Tambahnya, sebarang penstrukturan semula perlu mengambil kira faktor demografi, kepadatan penduduk serta keperluan pembangunan setempat agar selari dengan aspirasi kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata cadangan berkenaan perlu melalui saluran rasmi termasuk penelitian Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia serta kelulusan di peringkat Persekutuan.
Terdahulu, lebih 6,000 masyarakat pelbagai kaum hadir memeriahkan majlis rumah terbuka yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.






