Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Tawau catat peningkatan NCD dan kes denggi, KKM umum langkah intervensi

Read Time:1 Minute, 55 Second

Oleh: Sitti Nor Azizah Talata (pix Yusof Mohamad)

TAWAU: Daerah Tawau kini berdepan peningkatan keperluan kesihatan awam sejajar dengan kepadatan penduduk yang mencecah 353,900 orang, sekali gus menjadikannya antara daerah paling dinamik di Sabah.

Komposisi penduduk yang pelbagai termasuk komuniti bandar, pinggir bandar, kampung tradisi, kawasan setinggan dan penduduk rentas sempadan turut memberi implikasi besar terhadap model penyampaian perkhidmatan kesihatan, kestabilan epidemiologi dan keperluan sumber manusia serta fasiliti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) di Tawau menunjukkan keperluan intervensi lebih menyeluruh.

“Pada 2024, Tawau merekodkan 8,502 kes diabetes mellitus dan 6,800 kes hipertensi, manakala angka itu meningkat kepada 8,692 (diabetes) dan 7,081 kes hipertensi pada 2025.

“Peningkatan ini bukan sekadar statistik, tetapi cerminan realiti bahawa gaya hidup, pemakanan, aktiviti fizikal dan faktor risiko metabolik memerlukan dasar intervensi yang tegas dan bersepadu,” katanya dalam ucapan perasmian Kem Kesihatan Kukusan di Taman King Fook, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Ismuni Bohari; Penaung Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. William Gotulis.

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, Tawau mencatat pencapaian membanggakan dalam Program National Health Screening Initiative (NHSI) apabila bukan sahaja mencapai sasaran 10,000 saringan malah melebihi dengan 10,073 saringan atau 100.7 peratus.

Menurut beliau, prestasi itu membuktikan keberkesanan akses awal kepada rakyat serta komitmen petugas kesihatan di lapangan.

“Namun, cabaran penyakit berjangkit turut menunjukkan trend membimbangkan. Kes denggi meningat daripada 357 kes pada 2024 kepada 803 kes sehingga Minggu Epidemiologi 46 tahun ini.

“Ia dipengaruhi faktor kepadatan penduduk, mobilisasi komuniti dan perubahan cuaca. Justeru, KKM akan memperkukuh tindakan penguakuasaan persekitaran presmis berisiko, pemetaan hotspot menggunakan data GIS dan kolaborasi bersama Pihak Berkuasa Tempatan, sekolah dan komuniti,” jelasnya.

Dr. Dzulkefly turut menjelaskan bahawa Kukusan yang memiliki 36,822 penduduk, berpotensi menjadikannya antara pusat perkhidmatan kesihatan terpenting di kawasan ini.

Katanya, berdasarkan rekod KKM, pergantungan tinggi masyarakat di Kukusan adalah terhadap perkhidmatan kesihatan bagi ibu dan anak.

“Ini menunjukkan Kukusan merupakan zon kesuburan demografi yang aktif. Ini menuntut penambahbaikan dari segi tenaga kerja, fasiliti, ruang rawatan, farmasi dan sistem sokongan,” katanya.

“Tawau dan Kukusan tidak akan tercicir dalam arus pembaharuan sistem kesihatan negara. Kesihatan mesti menjadi hak untuk semua, bukan keistimewaan bagi yang berada,” ujarnya.

LEAVE A RESPONSE