Read Time:1 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau Datuk Juil Nuatim yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Pembantu Menteri menegaskan komitmennya untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata, jawatan yang disandang bukan sekadar kedudukan, tetapi satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
“Ini satu tanggungjawab yang agak berat, tetapi harus kita pikul kerana ia adalah untuk rakyat.
“Tugas ini harus digalas sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas mengangkat sumpah ke jawatan Pembantu Menteri di Istana Seri Kinabalu di sini pada Selasa.
Juil berkata, setiap keputusan dan tindakan yang diambil akan sentiasa berorientasikan kepentingan rakyat selain memastikan amanah yang diberikan dihormati dan dijalankan dengan sepenuh hati.
Katanya, komitmen itu dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan kerajaan dapat terus menunaikan tanggungjawabnya terhadap masyarakat, terutama dalam memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat tidak terabai.
Dalam pada itu, Juil menerusi hantaran di Facebooknya, berjanji akan menumpukan usaha untuk membawa pembangunan dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 6,444 pengundi Limbahau atas sokongan mereka, yang menurut beliau bukan sekadar angka tetapi satu amanah dan kepercayaan yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
“Insya-Allah, saya akan menggalas tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin, dengan fokus untuk membawa pembangunan, menjaga kebajikan, dan memastikan suara rakyat sentiasa didengari,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan rakyat memberi teguran dan menjadi semak serta imbang kepadanya, bagi memastikan setiap langkah yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada komuniti.
Menurutnya lagi, pembangunan Limbahau tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk membina kawasan yang lebih maju, selamat, dan sejahtera.
“Seperti yang saya katakan dalam setiap jelajah saya, saya mewakili kamu semua dan kamu warga Limbahau adalah ‘boss’ saya. Kita bina Limbahau yang lebih baik bersama-sama,” katanya. – SABAH MEDIA






