Tan Sri Simon Sipaun penjawat awam berwibawa, banyak menyumbang kepada negeri dan negara – Hajiji
Read Time:1 Minute, 10 Second
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas pemergian Tan Sri Simon Sipaun, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang meninggal dunia pada usia 88 tahun.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, Hajiji berkata mendiang merupakan seorang penjawat awam berwibawa yang banyak menyumbang kepada negeri dan negara sepanjang perkhidmatannya.
Simon pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dari tahun 1988 hingga 1993 sebelum meneruskan sumbangan di peringkat nasional sebagai Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dari tahun 2003 hingga 2010.
Menurut Hajiji, keberanian dan ketegasan mendiang dalam memperjuangkan isu demokrasi, tadbir urus, kebebasan sivil serta hak-hak Sabah termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadikan beliau tokoh yang amat dihormati, bukan sahaja di Sabah malah di seluruh negara.
Beliau turut menyifatkan Simon sebagai antara anak Sabah terawal menerima biasiswa Colombo Plan dan merupakan alumni Victoria University of Wellington, yang kepimpinan serta sumbangannya telah meninggalkan legasi besar dalam perkhidmatan awam dan pembangunan negeri.
“Seluruh Kerajaan Negeri Sabah turut bersimpati atas pemergian mendiang dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa, bakti dan sumbangan beliau kepada negeri Sabah,” katanya.
Hajiji turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan berharap mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat yang sukar ini.
Menurut laporan media, Simon meninggal dunia akibat radang paru-paru dan komplikasi berkaitan pada pagi Ahad, seperti disahkan oleh anaknya, Ignatius.






