Read Time:1 Minute, 5 Second
KOTA KINABALU: Sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini kerana mengendalikan lif penumpang tanpa mempunyai suatu perakuan kelayakan.
Kinabalu International Hotel Sdn Bhd, melalui wakilnya, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan terhadap pertuduhan tersebut.
Syarikat itu didakwa telah membenarkan lif penumpang yang dipasang itu dikendalikan tanpa mempunyai suatu perakuan kelayakan yang dikeluarkan oleh seorang pegawai atau orang berlesen pada 7 Oktober 2025, jam 11.30 pagi, di Hyatt Regency Kinabalu di Jalan Datuk Salleh Sulong, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 27D(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27D(5) akta yang sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Seksyen 27D(1) menyatakan tiada seorang pun boleh mengendalikan atau menyebabkan atau membenarkan untuk dikendalikan mana-mana loji yang telah dipasang di bawah seksyen 27C melainkan jika loji itu mempunyai suatu perakuan kelayakan yang dikeluarkan oleh seorang pegawai atau orang berlesen.
Mahkamah menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan syarikat diikat jamin sebanyak RM5,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin tempatan.
Pegawai pendakwa, Christy Claire De Guzman dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH) mengendalikan pendakwaan, manakala peguam Vanessa Maria Marimuttu dan Adele Chin mewakili syarikat tersebut.






