KOTA KINABALU: Sabah Electricity terus komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi penyerahan sumbangan Wakalah Zakat berjumlah RM60,000 yang memanfaatkan seramai 250 pelajar dan penerima layak dalam kalangan golongan asnaf.
Sumbangan itu disampaikan dalam program Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan yang berlangsung di sini malam tadi dan disempurnakan bersama Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman.
Hadir sama, isteri Tun Musa, Toh Puan Faridah Tussin; Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun dan Pengerusi SE, Saadiah Aziz.
Daripada jumlah keseluruhan sumbangan, seramai 100 pelajar daripada Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) menerima bantuan bagi meringankan beban kewangan serta menyokong kelangsungan pengajian mereka.
Sementara itu, 150 lagi penerima terdiri daripada golongan asnaf yang layak turut menerima manfaat, termasuk institusi seperti Maahad Tahfiz Miftahul Ulum dan Masjid Sembulan.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Sabah Electricity dalam membantu golongan memerlukan, khususnya menjelang Ramadan, di samping menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan masyarakat di negeri ini.






