Read Time:1 Minute, 24 Second
Oleh Ahmad Husnayan
SEMPORNA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disaran agar mengekalkan calon tempatan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, bagi memastikan suara rakyat setempat terus diperjuangkan secara tuntas dan berkesan.
Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah Sulabayan, Azlan Hisham, berkata Sulabayan tidak seharusnya dijadikan medan percubaan politik oleh parti luar, khususnya parti dari Semenanjung yang tidak mempunyai akar umbi kukuh di kawasan berkenaan.
Menurutnya, laporan media yang memetik Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka diberikan kerusi Sulabayan menimbulkan kebimbangan kerana parti itu tidak memiliki struktur dan jentera aktif di peringkat tempatan.
“Sulabayan mempunyai keunikan tersendiri dengan majoriti masyarakat Bajau yang mempunyai budaya serta keperluan sosioekonomi berbeza.
“Calon yang diketengahkan mestilah memahami realiti tempatan bagi membela kepentingan masyarakat dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Azlan berkata, kehadiran parti luar seperti Amanah tidak membawa manfaat besar kepada rakyat Sulabayan kerana mereka kurang memahami aspirasi dan isu sebenar masyarakat di kawasan itu.
Katanya, keutamaan harus diberikan kepada calon lokal yang berwibawa dan mampu bersaing dengan parti Warisan, memandangkan Sulabayan merupakan kawasan Ketua Pembangkang negeri.
“GRS memiliki kekuatan dan jentera akar umbi yang mantap di Sulabayan.
“Justeru, menampilkan calon lokal bukan sahaja memperkukuh sokongan rakyat tetapi juga menunjukkan kesungguhan GRS membela rakyat Sabah melalui wakil yang benar-benar memahami denyut nadi mereka,” tegasnya.
Azlan menegaskan, pertarungan di DUN Sulabayan wajar kekal antara parti-parti lokal yang memahami latar dan keperluan sebenar rakyat Sabah, bukan dicemari dengan percaturan politik parti luar.
“Masa depan Sulabayan mesti ditentukan oleh rakyatnya sendiri melalui calon lokal yang berpaksikan perjuangan akar umbi,” katanya.
Beliau menambah, kepimpinan tempatan lebih berupaya membawa suara rakyat dan memperjuangkan pembangunan serta kesejahteraan masyarakat Sulabayan secara konsisten di peringkat negeri.