Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

SUKMA 2026 : Sukan Muaythai mampu pertahan, sumbang pingat kepada Sabah


Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Sukan Muaythai berpotensi besar untuk kembali menjadi penyumbang utama pingat emas kepada Sabah dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-22 di Selangor Ogos ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, semangat juang yang tinggi dalam kalangan atlet muda negeri ini menjadi antara faktor penting dalam memastikan kejayaan tersebut dapat dicapai.

Beliau berkata, sasaran jumlah pingat emas mungkin berbeza berbanding pencapaian lalu, namun fokus utama adalah memastikan kontinjen Sabah terus memperoleh kejayaan.

“Saya ada bertanya tadi (kepada Presiden Muaythai Sabah) mengenai sasaran emas. Kalau dahulu kita memperoleh lima emas, kali ini yang penting ada pencapaian.

“Tapi sebagai Menteri saya amat berharap agar Muaythai juga dapat menyumbang atau mempertahankan sekurang-kurangnya lima emas pada SUKMA tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Sabah Muaythai Expo: The Young Guns U17 di sini pada Ahad.

Pada temasya SUKMA Sarawak 2024, sukan Muaythai telah menyumbang lima pingat emas; tiga perak dan dua gangsa kepada kontinjen Sabah dan merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

Nizam berkata, Kerajaan Sabah melalui kementeriannya sentiasa komited dalam memperkukuh ekosistem pembangunan sukan yang holistik  bermula dari akar umbi sehingga ke peringkat elit.

“Program seperti ini merupakan contoh terbaik pendekatan ‘grassroots development’ yang memberi pendedahan awal, membentuk disiplin serta menyediakan laluan jelas kepada atlet muda untuk berkembang ke tahap yang lebih tinggi.

“Lebih penting, platform ini berperanan sebagai landasan strategik persediaan ke arah Sukan Sabah (SAGA) 2027 dan SUKMA. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada bakat semata-mata, tetapi perlu membina sistem pembangunan yang konsisten, tersusun dan berimpak tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar lebih ramai anak muda tampil menyertai sukan dan seni mempertahankan diri seperti Muaythai.

”Ini adalah pelaburan jangka panjang dalam membentuk generasi masa depan negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE