Read Time:2 Minute, 1 Second
Oleh Raul G
KOTA BELUD: Jika dahulu melastik hanya sinonim dengan permainan kanak-kanak di kampung, kini sukan tradisional itu kembali mendapat perhatian apabila dimodenkan dengan peralatan baharu.
Menariknya, ia bukan lagi sekadar hobi kanak-kanak, tetapi turut menjadi ‘buruan’ golongan dewasa yang mencari cabaran serta nostalgia zaman dahulu.
Baru-baru ini, komuniti di daerah ini memilih untuk memanfaatkan permainan itu dengan menganjurkan Pertandingan Melastik Slingshot Terbuka di Gelanggang Kulambai Slingshot Club (KSC), Kampung Kulambai Dundau, dekat sini.
Pengerusi Penganjur, Ramdan Seran berkata, acara yang dijadualkan bermula jam 9 pagi itu menerima penyertaan seramai 201 peserta terdiri hampir seluruh daerah di Sabah dan Labuan.
Katanya, selain platform untuk mengukuhkan ukhuwah sesama peminat sukan lastik, mereka berhasrat mengembalikan kegemilangan permainan tradisional yang popular pada era 60-an sehingga 90-an.
“Permainan lastik ini juga usaha untuk memulihara khazanah warisan negara yang semakin dilupakan generasi kini apatah lagi sejak zaman teknologi dengan pelbagai gajet canggih, yang menyebabkan permainan ini seperti dipinggirkan.
“Oleh itu, kami berpakat ‘menghidupkan’ semula minat terhadap permainan ini, khususnya dalam kalangan kanak-kanak atau remaja yang tidak pernah bermain permainan ini,” katanya.
Menurutnya, dia tidak menyangka pertandingan yang kebiasaannya hanya dihadiri peserta, turut menerima kehadiran pengunjung lebih 400 orang yang mahu menyaksikan acara terbabit.
Ramdan yang juga merupakan Presiden Elite Slingshot Club dan selaku ketua juri pertandingan berkenaan, mengulas lanjut, sistem pemarkahan dikendalikan secara digital melalui laman web KeepTheScore menjadikan pertandingan terbabit lebih profesional.
Dengan format jatuhan pin 3 sentimeter x 6 sentimeter dari jarak sepuluh meter, peserta akan bersaing dalam tiga pusingan melibatkan 20, 15 dan 10 pin.
“Bagi kategori utama, dengan yuran penyertaan RM30, johan membawa pulang hadiah sebanyak RM1,000 beserta piala dan sijil. Turut disediakan hadiah sehingga kedudukan ke-60”.
“Selain itu, kategori kanak-kanak juga disediakan dengan yuran penyertaan RM5 manakala pelbagai hadiah berupa barangan elektrik turut disediakan melalui cabutan bertuah untuk peserta dan pengunjung,” ujarnya.
Sementara itu peserta, Mohd Shukri Baharin, 41, berkata, pembuatan lastik moden tampak lebih elegan dan mampu menarik minat golongan muda untuk menceburi sukan melastik.
“Dibandingkan zaman dahulu,hanya menggunakan bahan kayu dan tidak tahan lama”.
“Kini, material yang digunakan adalah plastik keras, besi dan bahan campuran seperti aluminium atau titanium,” katanya.
Mohd shukri mengakui, acara sukan lastik itu mengimbau kenangan dahulu dan dia sangat menyokong sukan itu diteruskan.
“Tidak menjadi kesalahan atau apa-apa yang membahayakan melakukan aktiviti ini cuma perlu sentiasa peka isu keselamatan dan pilih lokasi yang sesuai,” tambahnya.