Read Time:1 Minute, 27 Second
RANAU: Inisiatif Kerajaan Persekutuan meneruskan subsidi diesel kepada Sabah dan Sarawak bukan sahaja relevan, malah mencerminkan prinsip keadilan pembangunan dalam memastikan keseimbangan antara wilayah di Malaysia.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, dasar kerajaan Persekutuan mengekalkan harga tertentu di kedua-dua negeri itu perlu dilihat dalam konteks jurang pembangunan yang masih ketara.
Beliau berkata, Sabah khususnya masih berdepan cabaran besar dari segi infrastruktur asas seperti rangkaian jalan raya, selain kadar kemiskinan yang lebih tinggi berbanding negeri-negeri di Semenanjung.
“Subsidi ini bukan satu keistimewaan, tetapi satu keperluan bagi memastikan rakyat di Sabah tidak terus terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dalam keadaan kemudahan asas masih belum setara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Ranau di sini pada Sabtu.
Masidi yang Menteri Kewangan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rasional kerajaan mengekalkan perbezaan harga diesel antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak memainkan peranan penting sebagai penyumbang utama hasil minyak dan gas negara, yang selama ini menjadi antara sumber utama pendapatan Malaysia.
“Ramai yang tidak menyedari bahawa kekayaan daripada hasil minyak dan gas di Sabah dan Sarawak telah membantu membangunkan negeri-negeri lain.
“Justeru, tidak salah jika subsidi ini dilihat sebagai satu bentuk timbal balik atau pengiktirafan terhadap sumbangan besar kedua-dua negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kritikan terhadap dasar berkenaan sebagai tidak berasas dan berpunca daripada kurangnya pemahaman mengenai sejarah serta struktur pembangunan negara.
“Pandangan negatif ini mungkin datang daripada mereka yang tidak memahami latar belakang pembentukan Malaysia serta realiti pembangunan yang tidak seimbang antara wilayah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar melihat isu subsidi secara menyeluruh dan adil, demi memastikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara yang lebih inklusif.






