Read Time:3 Minute, 7 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang subkontraktor dijatuhi hukuman denda RM12,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menyebabkan kemalangan elektrik yang mengakibatkan kematian adik kandungnya.
Tertuduh, Mohd Norazmie Madang, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, Mohd Norazmie telah menjalankan kerja pemasangan sistem internet gentian optik (YES Home Fibre Internet) berhampiran talian elektrik voltan tinggi 11kV milik Sabah Electricity (SE) tanpa kebenaran sah daripada pemegang lesen.
Tindakan tersebut menyebabkan kemalangan elektrik yang mengakibatkan kematian adiknya, Mohammad Roy Zaimie Madang, 19.
Kesalahan itu dilakukan pada 14 Januari 2025 sekitar jam 4.48 petang di Kampung Sinoko, Jalan Bambangan, Membakut, Sabah.
Tertuduh didakwa di bawah Subseksyen 55(1) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 55(2) Enakmen yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai juruteknik pemasangan (Installer) di bawah syarikat Orex Enterprise, milik tertuduh, terkena renjatan elektrik selepas kabel gentian optik yang dilemparkan menyentuh talian 11kV milik SE yang masih berarus.
Kejadian berlaku semasa kerja-kerja pemasangan sistem internet gentian optik (YES Home Fibre Internet) sedang dijalankan berhampiran talian voltan tinggi 11kV milik SE.
Semasa kejadian, mangsa telah melemparkan kabel gentian optik ke atas talian voltan tinggi SE yang tidak berpenebat dan masih berarus elektrik. Semasa menggulung kembali kabel tersebut, telah berlaku renjatan elektrik yang menyebabkan mangsa terkena percikan elektrik dan terbakar.
Siasatan mendapati, kerja-kerja yang dilakukan ini tidak mendapat kebenaran daripada pihak SE dan permohonan Permit Mula Kerja tidak pernah dipohon oleh tertuduh. Selain itu, pekerja di tapak kejadian, termasuk mangsa, didapati tidak memakai Peralatan Pelindung Diri (PPE) yang lengkap seperti kasut keselamatan, topi keselamatan, dan sarung tangan.
Akibat daripada itu, talian tersebut masih berarus tinggi dan elektrik masih mengalir kerana penutupan bekalan tidak dilakukan oleh pihak SE disebabkan kerja-kerja dilakukan oleh tertuduh adalah tanpa pengetahuan SE secara sah.
Fakta kes turut mendedahkan bahawa SwiF Fintech Sdn Bhd telah dilantik sebagai kontraktor utama oleh YTL Communications Sdn Bhd untuk penyediaan perkhidmatan pemasangan dan sokongan YES Home Fibre Internet. SwiF Fintech seterusnya telah melantik Orex Enterprise sebagai subkontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pemasangan sistem gentian optik.
Semasa rayuan, peguam Azhier Farhan, yang mewakili tertuduh, merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan, dengan mengambil kira bahawa kejadian tersebut merupakan sebuah tragedi keluarga, memandangkan mangsa ialah adik kandung tertuduh sendiri.
Beliau menjelaskan bahawa tertuduh amat kesal dan masih menanggung trauma serta rasa bersalah yang mendalam atas kehilangan tersebut.
“Tertuduh tidak bertindak dengan niat cuai, sebaliknya disebabkan kejahilan mengenai keperluan mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemegang lesen. Sepanjang siasatan, beliau memberikan kerjasama penuh dan mengaku bersalah pada peringkat awal, menunjukkan penyesalan yang tulus serta rasa tanggungjawab,” katanya.
Azhier berkata, tertuduh mempunyai tiga orang anak kecil, selain menanggung ibu bapa yang sudah lanjut usia serta seorang adik yang masih belajar.
Menurutnya, hukuman penjara hanya akan menambah penderitaan keluarga tertuduh, yang bergantung sepenuhnya kepadanya.
Sementara itu, pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Tenaga Sabah, Andryeno Thomas, berhujah bahawa tindakan tertuduh menunjukkan pengabaian melampau terhadap terhadap peraturan keselamatan elektrik yang bertujuan melindungi nyawa dan harta benda.
“Kemalangan ini bukanlah suatu kejadian luar jangka, sebaliknya boleh dielakkan sepenuhnya sekiranya tertuduh mematuhi keperluan undang-undang dan tatacara keselamatan yang ditetapkan. Kegagalan tertuduh menunjukkan pengabaian ketara terhadap keselamatan pekerja dan orang awam, serta ketidakpatuhan terang-terangan terhadap kuasa dan peranan pihak berlesen (Sabah Electricity).
“Hukuman berat diperlukan bagi memberi mesej pencegahan (deterrence) kepada semua pihak dalam industri agar mematuhi sepenuhnya peruntukan Enakmen Bekalan Elektrik 2024,” katanya.
Untuk rekod, SwiF Fintech Sdn Bhd telah dikenakan denda RM18,000 kerana gagal memastikan pematuhan perundangan oleh mana-mana pihak ketiga/subkontraktor yang dilantik, sehingga menyebabkan kemalangan elektrik yang mengakibatkan kematian.






