Read Time:1 Minute, 17 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Suara dan peranan wanita dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai elemen penting yang perlu terus diperkukuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS, Datuk Rina Jainal berkata, kepimpinan GRS telah memberi jaminan untuk mempertahankan semua penyandang wanita sedia ada, selain mempertimbangkan tambahan kerusi bagi calon wanita dalam PRN kali ini.
“Dimaklumkan bahawa semua kerusi yang disandang oleh wakil wanita akan dipertahankan. Malah ada juga cadangan untuk menambah, sekitar 10 kerusi untuk calon wanita,” katanya kepada Sabah Media.
Rina berkata, langkah itu menunjukkan komitmen GRS dalam memastikan suara wanita terus berkumandang dalam pentadbiran dan pembuatan dasar negeri.
“Kita mahu supaya sentiasa ada suara wanita di Dewan. Itu yang penting, sebab peranan wanita dalam membawa pandangan masyarakat juga besar,” ujarnya.
Mengenai peluang untuk dicalonkan semula, beliau berkata, keyakinan itu bukan semata-mata berdasarkan pengalaman, tetapi turut disokong oleh prestasi kerja dan maklum balas positif daripada masyarakat setempat.
“Keyakinan itu memang ada, berdasarkan cara kita bekerja dan respon daripada rakyat. Namun, keputusan akhirnya tetap bergantung kepada kepimpinan atasan,” katanya.
Rina menambah, GRS juga diyakini akan menilai calon-calon berdasarkan kemampuan mereka memberikan saingan yang kuat di kawasan masing-masing, termasuk dalam kalangan calon wanita.
“Sudah tentu mereka akan pertimbangkan calon yang boleh memberi saingan, sebab semua orang sedang berjuang secara adil untuk peluang masing-masing,” katanya.
Beliau berharap peningkatan jumlah calon wanita bukan sahaja memperkukuh keseimbangan gender dalam politik Sabah, tetapi juga menjadi simbol kesediaan GRS untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa di masa hadapan.






