Read Time:1 Minute, 0 Second
Oleh Normimie Diun
TAMPARULI: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Minangkob, Jalan Tamparuli–Ranau, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 petang sebelum jentera dari BBP Tuaran digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 25 kilometer.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.02 petang dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Ranau menuju ke Tamparuli lalu bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan.
“Kemalangan itu melibatkan empat orang mangsa, dua mangsa lelaki yang berada di dalam kenderaan pacuan empat roda mengalami kecederaan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Namun beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal iaitu pasangan suami isteri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM.
“Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat,” katanya.






