Read Time:1 Minute, 25 Second
KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri dikenakan denda oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki dan menjual produk tidak berdaftar.
Mohd Ainal, 39, dan Catrina M, 32, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan masing-masing di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.
Mahkamah mengenakan denda RM1,500 atau penjara satu bulan bagi setiap pertuduhan.
Dalam kes Mohd, bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki empat jenis keluaran yang bukan keluaran berdaftar pada 4 Julai 2024, kira-kira jam 11.51 pagi, di sebuah premis di Papar.
Dia didakwa melakukan perbuatan yang melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd didakwa memiliki lapan jenis kosmetik yang bukan kosmetik bernotifikasi pada masa dan tempat yang sama.
Bagi kesalahan ini, dia melakukan perbuatan yang melanggar Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 18A(15) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Bagi Catrina, dia berdepan dua pertuduhan menjual dua keluaran yang bukan keluaran berdaftar pada masa dan tempat yang sama.
Kedua-dua pertuduhan terhadapnya merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Kesemua hukuman memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Onng Chi San dari Jabatan Farmasi tampil untuk pendakwaan.






