Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

STAR Nabawan dijangka sokong Abdul Ghani pertahan kerusi DUN Nabawan

Read Time:1 Minute, 7 Second

Oleh Silar Pinikit

NABAWAN: Sokongan terhadap penyandang calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, semakin kuat apabila sebahagian pemimpin dan ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bahagian itu dijangka memberi sokongan kepada beliau pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRN DU Sabah ke-17) yang bakal berlangsung 29 November ini.

Sokongan itu jelas kelihatan apabila beberapa pemimpin STAR hadir ke Majlis Pengumuman Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.

Antara yang hadir termasuk Timbalan Ketua Bahagian STAR Nabawan, Ami Talu; Setiausaha Bahagian, Antan Anginsor; Ketua Wanita, Agatah Michael serta beberapa Ahli Jawatankuasa Bahagian, Wanita dan ahli akar umbi.

Menurut Setiausaha Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Anthony Amin, kumpulan dari STAR itu telah menyatakan hasrat untuk kekal bersama GRS dan menyokong kepimpinan Abdul Ghani yang diumumkan sebagai calon rasmi oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Mereka akan menyatakan sokongan secara rasmi selepas hari penamaan calon pada Sabtu ini. Itu yang dimaklumkan kepada kami,” katanya ketika ditemui.

Jika keputusan rasmi itu dibuat, langkah berkenaan dijangka mengukuhkan kedudukan Abdul Ghani, yang bakal berdepan saingan sengit daripada sekurang-kurangnya lima calon lain.

Setakat ini, dua calon telah diumumkan untuk bertanding di kerusi DUN Nabawan — Laiji Ompongoh (BN-UMNO) dan Alfian Koroh (Warisan). – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE