Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

SMM ukir sejarah di bawah pengurusan baharu, catat hasil tertinggi dan sumbangan pertama kepada negeri

Read Time:1 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) mengukir sejarah tersendiri apabila mencatatkan hasil pendapatan tertinggi sejak penubuhannya pada tahun 2021, sekali gus menandakan pencapaian penting di bawah tadbir urus dan pengurusan baharu syarikat.

Menerusi kenyataan media SMM, pencapaian tersebut direkodkan di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif, Natasha Sim, selaras dengan usaha transformasi dan penstrukturan semula yang dilaksanakan sepanjang setahun lalu bagi memperkukuh asas kewangan serta prestasi operasi syarikat.

Seiring peningkatan hasil, SMM turut mengunjurkan keuntungan bersih tertinggi, sekali gus menandakan pemulihan kewangan yang signifikan daripada kerugian terkumpul pada tahun-tahun terdahulu kepada kedudukan kewangan yang lebih stabil dan mampan buat pertama kali.

Sebagai manifestasi kejayaan itu, SMM menyalurkan sumbangan langsung pertamanya kepada Kerajaan Negeri Sabah berjumlah RM1 juta, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.

Sumbangan diserahkan oleh Natasha kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Menurut SMM, pencapaian berkenaan adalah hasil pembaharuan menyeluruh yang merangkumi pengukuhan disiplin kewangan, tadbir urus korporat yang lebih telus serta penambahbaikan kecekapan operasi di bawah kepimpinan baharu.

SMM turut menyatakan sasaran untuk terus menyalurkan sumbangan dan dividen yang lebih besar serta berterusan kepada Kerajaan Negeri Sabah pada tahun hadapan, sejajar dengan agenda kelestarian dan pertumbuhan jangka panjang syarikat.

LEAVE A RESPONSE