Read Time:1 Minute, 16 Second
RANAU: Manifesto pembangkang yang menggunakan slogan ‘menentang kemunduran’ disifatkan sebagai kenyataan yang mencabar minda rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan.
Pegawai Khas kepada penyandang kerusi DUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsoling berkata, manifesto yang dibawa oleh salah seorang bakal calon pembangkang itu tersasar jauh dan tidak berasaskan fakta.
“Pertama, jika dakwaan itu merujuk kepada keadaan semasa rakyat Paginatan, beliau perlu jelaskan sama ada ia benar-benar menggambarkan ‘kemunduran’ rakyat di sini. Biarlah rakyat Paginatan sendiri yang menilai.
“Kedua, jika tuduhan itu ditujukan kepada Datuk Abidin, ia jelas tidak tepat dan tidak berasas sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Juis, Datuk Abidin merupakan pelopor kemajuan di DUN Paginatan dengan pelbagai pencapaian signifikan sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Antara kejayaan itu termasuk pengeluaran lebih 1,000 geran tanah melalui Program Pantas di enam kampung, selain kejayaan mengeluarkan Kampung Ponulangon, Kampung Walou dan Kampung Kanawahon daripada kawasan Hutan Simpan.
Dalam masa sama, katanya, Abidin turut memperjuangkan penambahan kuota Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ketua Kampung di beberapa kawasan.
“Pencapaian paling signifikan ialah pewujudan Pekan Baharu Paginatan yang kini sudah memulakan kerja-kerja awalan. Semua ini tidak pernah dicapai oleh wakil rakyat terdahulu, walaupun ada antaranya pernah menjadi menteri penuh selama beberapa penggal,” jelasnya.
Tambah Juis, kejayaan Abidin banyak dipacu oleh pengalaman lebih 40 tahun beliau sebagai penjawat awam serta hubungan erat dengan agensi kerajaan.
“Mengatakan tempoh lima tahun beliau sebagai wakil rakyat GRS adalah satu ‘kemunduran’ merupakan retorik yang amat tidak berasas,” tegasnya.






