Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Skuad Anak Sabah cipta rekod MBOR, tebus maruah daerah tercemar

Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh Ahmad Husnayan

SEMPORNA: Selepas tular video pelancong asing yang mendakwa Semporna sebagai kawasan pelancongan yang kotor dan dipenuhi sampah, sekumpulan anak muda tempatan tampil membuktikan sebaliknya dengan tindakan nyata.

Pertubuhan Skuad Anak Sabah berjaya mengumpul lebih 8 tan sampah menerusi Program Pembersihan Pantai Anak Sabah Semporna 2025, sekali gus diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai kutipan sampah terberat pernah direkodkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Program yang menghimpunkan 500 sukarelawan terdiri daripada ahli Skuad Anak Sabah, penduduk Kampung Air serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu diadakan di Padang Pekan Semporna dan Kampung Air, dua kawasan yang sebelum ini menjadi tumpuan isu kebersihan.

Timbalan Presiden II Skuad Anak Sabah, Mazlan Mainan, berkata kejayaan itu membuktikan masyarakat setempat tidak berdiam diri apabila daerah mereka dikritik, sebaliknya memilih untuk bertindak secara positif bagi memulihkan imej Semporna.

“Kawasan Kampung Air sememangnya berdepan cabaran pengurusan sisa yang besar, namun itu tidak menghalang kami untuk bangkit bersama.

“Program ini bukan sekadar mengutip sampah, tetapi satu mesej bahawa anak jati Sabah masih prihatin dan sanggup memikul tanggungjawab menjaga kebersihan bumi sendiri,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengiktirafan MBOR, semalam.

Mazlan menegaskan, inisiatif itu turut menjadi platform penyatuan komuniti tempatan, selain menggalakkan lebih ramai belia terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Kejayaan ini bukan hanya milik Skuad Anak Sabah, tetapi seluruh rakyat yang cintakan keindahan Semporna.

“Kami ingin buktikan bahawa masyarakat kita mampu menjaga imej Sabah tanpa menunggu pihak luar turun padang,” katanya.

Majlis penyampaian pengiktirafan disempurnakan oleh wakil MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin, yang menyerahkan sijil rasmi kepada Skuad Anak Sabah sebagai pengiktirafan atas usaha luar biasa itu.

Program itu turut mendapat sokongan daripada Sawit Kinabalu Group, Grill Patio, K2 Water, Page Eight, HS Printing Solution dan Barber Addict, selain kerjasama erat penduduk kampung dan pihak berkuasa tempatan.

Skuad Anak Sabah dalam kenyataannya turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta berharap usaha itu menjadi inspirasi kepada lebih banyak NGO untuk melaksanakan aktiviti kebersihan komuniti di seluruh Sabah.

“Kita tidak mampu ubah persepsi hanya dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan yang memberi kesan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE