Read Time:2 Minute, 20 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Selepas hampir 10 tahun, Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini menetapkan 8 Mei sebagai tarikh keputusan kes berprofil tinggi yang membabitkan pegawai atasan Jabatan Air Sabah (JANS).
Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat, menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan menutup kes mereka hari ini.
Mahkamah juga menetapkan tempoh dua bulan untuk pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis secara serentak, paling lewat pada 7 April, manakala hujahan lisan balas dijadualkan pada 22 dan 23 April ini.
Dibicarakan bersama adalah bekas pengarah JANS Ag Mohd Tahir, 63, isterinya Fauziah Piut,58, dan bekas timbalan pengarah JANS Lim Lam Beng, 69, yang berdepan pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.
Kes ini mula mendapat perhatian media pada 2016 apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas sejumlah besar barangan berharga dan jutaan ringgit tunai dalam salah satu operasi terbesar di Sabah.
Ag Mohd Tahir, isterinya, dan Lim didakwa pada 28 Disember 2016 dan semuanya mengaku tidak bersalah.
Ag Mohd Tahir berdepan 11 pertuduhan, manakala Fauziah menghadapi 19 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.
Fauziah turut berdepan dua pertuduhan bersama dengan Ag Mohd Tahir di bawah seksyen yang sama, manakala Ag Mohd Tahir mempunyai satu pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta sama.
Ag Mohd Tahir dan isterinya didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa Lokasi termasuk di pejabatnya di sini, sebuah rumah di Sembulan, beberapa cawangan bank, sebuah kondominium, di Sulaman dan sebuah menara di Kuala Lumpur antara 4 Oktober hingga 4 November 2016.
Lim pula didakwa melakukan kesalahan di pejabat SPRM Jalan UMS dan sebuah rumah di sini antara 13 Oktober hingga 8 November 2016.
Perbicaraan bermula pada 7 Mei 2018 dengan pihak pendakwa memanggil 44 saksi. Pihak pembelaan kemudian memanggil 15 saksi, termasuk beberapa saksi yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan, seperti bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.
Peguam Datuk Ansari Abdullah, Erveana Ansari dan Noorsyazwani Sapri mewakili Ag Mohd Tahir dan Fauziah, manakala Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong mewakili Lim.
Untuk rekod, pada 13 Disember 2016, bekas timbalan pengarah Jabatan Air Sabah Teo Chee Kong turut didakwa dengan 146 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram bernilai RM32.923 juta. Teo mengaku tidak bersalah.
Beliau sepatutnya dibicarakan bersama ketiga-tiga tertuduh. Namun, Teo dibebaskan dan dilepaskan oleh mahkamah yang sama pada 17 Mei 2022, dan menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan terhadap trio itu.
Pada 18 Februari 2022, Teo pada mulanya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah bagi semua 146 pertuduhan pengubahan wang haram, dan pihak SPRM pula mengenakan kompaun sebanyak RM30 juta kepadanya.





