Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

SK Pulau Gaya sambut 60 tahun, inspirasi komuniti dan pendidikan

Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU : Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya mencipta detik bersejarah apabila meraikan Sambutan Jubli Intan 60 Tahun hari ini, menandakan enam dekad perjuangan mendidik dan membangunkan generasi anak pulau sejak penubuhannya pada 1965.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, tempoh panjang itu melambangkan keteguhan,ketekunan dan semangat juang seluruh warga sekolah dalam menjayakan misi dan visi pendidikan di Pulau Gaya ini.  

Katanya, sekolah itu juga dilihat telah berkembang daripada sebuah sekolah kecil di pulau kepada institusi pendidikan yang melahirkan ramai anak bangsa yang berjaya, bukan sahaja di sabah bahkan di seluruh negara. 

“Saya percaya dan yakin sebilangan ibu bapa juga bekas pelajar atau alumni sekolah ini. Di kalangan mereka ada yang telah mempunyai pekerjaan yang baik dan memegang jawatan yang tinggi.  

“Kejayaan ini tentu tidak datang bergolek. Pahit getir dan susah payah para pendidik yang berdedikasi selama 60 tahun dengan silih berganti membawa banyak perubahan, Usaha ini juga atas sokongan padu komuniti setempat,dan kesungguhan murid-murid belajar sebaik mungkin menuntut ilmu walau di mana mereka berada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Jubli Intan kali ke-60 SK Pulau Gaya di sini pada Sabtu.

Arif berkata, beliau menyeru dan menyarankan agar seluruh warga SK Pulau Gaya terus memupuk nilai integriti, kecemerlangan dan inovasi serta pemangkin kejayaan selaras dengan matlamat Pendidikan Negara. 

“Jadikanlah sekolah ini bukan sekadar tempat menimba ilmu tetapi juga wadah membentuk sahsiah, semangat kebangsaan dan jati diri sebagai anak Malaysia,”katanya. – SABAH MEDIA 

LEAVE A RESPONSE