BEAUFORT: Sekolah Kebangsaan (SK) Lajau muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak Gadung Road Cup dan Piala PIBG SK Lajau yang berlangsung meriah dengan penyertaan lapan pasukan sekolah rendah dari sekitar daerah Beaufort.
Naib johan dimenangi oleh SK Luagan, manakala SK Pekan berada di kedudukan ketiga dan SK Suasa di tempat keempat.
Kejohanan tersebut telah dirasmikan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Daerah Beaufort Mohd Yazri yang mewakili Presiden SAFA Daerah Beaufort, Datuk Razak Sulaiman.
Dalam ucapannya, Mohd Yazri memuji usaha penganjuran kejohanan itu yang disifatkan sebagai satu platform penting dalam pembangunan sukan akar umbi, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah rendah.
“Penganjuran pertandingan ini bertujuan menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan yang sihat dan berfaedah, di samping dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang bola sepak,” katanya.
Beliau turut berharap agar kejohanan seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Lajau, dengan sokongan padu daripada pihak sekolah serta komuniti setempat, sekali gus membuktikan komitmen bersama dalam memperkasa pembangunan sukan dan sahsiah pelajar.






