Read Time:1 Minute, 17 Second
PAITAN: Hampir 90 peratus kemudahan dan peralatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9 Beluran rosak sepenuhnya akibat banjir baru-baru ini, sekali gus menjejaskan kelangsungan sesi persekolahan murid.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi Dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata keadaan itu dikenal pasti menerusi lawatan ke sekolah berkenaan hari ini.
Menurutnya, penilaian awal mendapati sekolah berkenaan memerlukan dengan kadar segera sebanyak 200 set meja dan kerusi murid, 30 set meja dan kerusi guru serta lima set meja dan kerusi untuk bahagian pentadbiran.
“Kemudahan pengajaran dan pembelajaran bagi sembilan buah kelas turut terjejas dan memerlukan whiteboard serta Smart TV baharu. Keseluruhan buku teks termasuk stor bekalan buku teks telah musnah, manakala 30 buah laptop dan lapan set komputer untuk kegunaan pelajar tidak lagi dapat digunakan.
“Selain itu, kerosakan turut melibatkan bilik pusat sumber, tandas serta bilik mesyuarat sekolah. Sebanyak 10 buah tangki simpanan air juga dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus banjir,” katanya.
James yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sugut berkata bahawa situasi ini memerlukan tindakan segera dan penyelarasan pantas bagi memastikan pemulihan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan akses pendidikan murid.
“Sehubungan itu, saya menyeru Jabatan Pendidikan Negeri Sabah agar menyalurkan bantuan dengan kadar segera bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dan penggantian aset dilaksanakan secepat mungkin.
“Saya juga menggesa semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya memaklumkan dengan segera kepada pihak kementerian sekiranya berlaku kejadian seumpama ini di kawasan masing-masing agar tindakan awal dapat diambil dan bantuan dapat disalurkan tanpa kelewatan,” katanya.
Tegasnya lagi, kelangsungan pendidikan anak-anak Sabah adalah tanggungjawab bersama dan mesti sentiasa menjadi keutamaan.







