Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Simposium Penyelidikan UMS-ReS 3 2025 perkukuh budaya penyelidikan dan inovasi

Read Time:1 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU : Simposium Penyelidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS-ReS 3) 2025 yang berlangsung di Nexus Resort & Spa Karambunai baru-baru ini mampu menjadi wadah untuk memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi di universiti. 

UMS-ReS 3 yang menghimpunkan lebih 100 peserta dari pelbagai fakulti, akademik, pusat dan institusi di UMS itu merupakan platform tahunan bagi memantau kemajuan projek penyelidikan yang dibiayai melalui dana dalaman UMS, selain turut menggalakkan kerjasama rentas disiplin serta menyokong usaha universiti memperkukuh ekosistem penyelidikan dalaman.

Bertemakan ‘Penyelidikan dan Inovasi: Membina Masyarakat Berilmu dan Inovatif’, simposium kali ini turut menampilkan pelaksanaan Program Khidmat Masyarakat sebagai manifestasi kepada pengisian temanya.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dalam ucapan perasmiannya berkata, penyelidikan bukan sahaja berperanan menambah pengetahuan, malah membentuk masyarakat yang progresif, inovatif dan berdaya saing.

“Penganjuran UMS-ReS 3 mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa budaya penyelidikan. 

“Platform ini akan menjadi pemangkin kepada penerbitan berkualiti, projek berimpak tinggi, serta pencapaian akademik yang membanggakan,” katanya.

Seramai 104 peserta telah mengambil bahagian dalam sesi pembentangan yang dibahagikan kepada empat kluster utama iaitu Sains Hayat, Bioteknologi dan Kesihatan; Sains Fizikal, Kejuruteraan dan Teknologi; Sains Sosial, Budaya dan Pendidikan; serta Sains Alam Sekitar dan Biologi. 

Hasil pembentangan terpilih akan diterbitkan dalam jurnal berindeks MyCite sebagai usaha mengangkat martabat penyelidikan UMS di peringkat nasional dan antarabangsa. 

Selain itu, beberapa dapatan penyelidikan akan dikongsikan kepada masyarakat melalui Program Khidmat Masyarakat di Lahad Datu pada bulan Oktober ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Profesor Dr. Asmady Idris; dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Prof. Dr. Jumat Sulaiman.

LEAVE A RESPONSE