Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Shahelmey galak belia Putatan ceburi e-Sport, lonjak industri digital

Read Time:1 Minute, 21 Second

Putatan: Pembangunan sukan e-Sport di Putatan mampu meningkatkan kemahiran digital di kalangan belia selain memberi pendedahan kepada peluang keusahawanan dalam industri terbabit.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, sukan tersebut kini dilihat bukannya sekadar permainan mengisi masa lapang sahaja, namun ia kini sudah berevolusi menuju ke industri lebih besar seperti pembangunan IT, penciptaan kandungan serta ekonomi digital.

Jelas beliau, sudah tentu kawasan Parlimen Putatan tidak mahu terkecuali daripada perkembangan baharu itu dan pihaknya bercita-cita supaya daerah itu menjadi pemangkin industri berkenaan suatu hari nanti.

“Seperti mana yang kita ketahui, sukan e-Sport ini menarik minat ramai orang muda dengan ia semakin berevolusi menjadi sebuah industri pendigitalan.

“Kini ia bukan sekadar sebuah permainan sahaja akan tetapi ia mampu menjana pendapatan seperti profesion content creator, menyertai pertandingan dan sebagainya.

“Manakala bagi kesan positif yang lain, sukan ini bukan sahaja sudah diiktiraf di peringkat antarabangsa malah ia ternyata menyeru penyatuan, kerjasama berpasukan dan semangat kesukanan yang jitu di antara peserta, “katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan e-Sport Belia Tanjung Keramat di Dewan Mini Pasir Putih, Putatan, di sini pada Ahad.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Shahelmey berharap ianya boleh menjadi platform atau medan kepada anak muda di Putatan untuk terlibat secara aktif dalam sukan terbabit.

“Bukan hanya sekadar dapat beriadah bersama kawan-kawan lain, sukan ini juga dapat menghindari golongan belia, beliawanis kita daripada terdedah dengan aktiviti tidak sihat yang lain seperti penyalahgunaan dadah dan budaya lepak yang membuang masa.

“Sehubungan itu, usaha berterusan seperti ini amat digalakkan kerana dapat melahir, mengenalpasti muka-muka baharu dalam pembangunan e-Sport di Putatan, secara amnya, “katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE