Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Shah Alfie santuni komuniti pelbagai kaum, serlah kemahiran berbahasa Cina

Read Time:1 Minute, 16 Second

Oleh J Evachel John

PUTATAN: Keupayaan calon muda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN N.24 Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, berkomunikasi dalam bahasa Cina walaupun pada tahap asas menarik perhatian ketika walkabout di pekan ini pagi tadi.

Dalam sesi walkabout dari Bank BSN hingga ke Dataran Pomoi, Shah Alfie dilihat selesa menyapa peniaga Cina dalam bahasa Mandarin, dan turut dibantu oleh jentera kempen yang fasih berbahasa itu.

Tindakan spontan berkenaan bukan sahaja mencetuskan reaksi positif, malah memperlihatkan kesungguhannya untuk mendekati masyarakat pelbagai kaum di Tanjung Keramat.

Shah Alfie semasa program walkabout di Putatan

Ketika ditemui media, Shah Alfie menjelaskan bahawa kemampuan bertutur Mandarin beliau hanya pada tahap asas.

“Saya boleh bercakap Cina sedikit-sedikit sahaja,” katanya sambil turut menterjemahkan kenyataannya dalam bahasa Mandarin.

Beliau yang fasih bertutur dalam Bahasa Melayu dan Inggeris mengakui bahawa kemampuan asas berbahasa Mandarin tetap menjadi nilai tambah untuk mendekati pengundi Cina.

Shah Alfie semasa program walkabout di Putatan

Shah Alfie turut memaklumkan bahawa sebahagian jentera kempen beliau boleh berbahasa Cina, selain menerima bantuan daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) dalam mengukuhkan gerak kerja di lapangan.

“Sebahagian jentera kami boleh berbahasa Cina, dan kami juga dibantu oleh LDP yang turut mengukuhkan pasukan kempen kami,” katanya.

Sebelum ini, LDP salah satu komponen GRS mengumumkan parti itu tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17.

Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin berkata, parti itu akan memberi sokongan penuh kepada GRS bagi memastikan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negeri.

Shah Alfie semasa program walkabout di Putatan

LEAVE A RESPONSE