Read Time:1 Minute, 0 Second
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam sebuah jabatan kerajaan negeri kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,000 sebagai balasan memberikan projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada sebuah syarikat kontraktor.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Siasatan awal mempercayai suspek melakukan perbuatan tersebut pada 2024 dengan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM3,000.
Suspek dipercayai menerima wang rasuah secara berperingkat melalui dua transaksi pemindahan wang dalam talian ke akaun peribadinya serta akaun milik anaknya.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah dalam satu kenyataan mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Menurutnya, suspek akan dilepaskan selepas keterangannya selesai diambil.
Sebelum ini seorang penjawat awam juga ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan dua ahli keluarganya yang tidak layak sebagai penerima Rumah Mesra SMJ.
Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek dijangka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Sandakan dalam masa terdekat.
LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2026/02/23/penjawat-awam-ditahan-berhubung-salah-guna-kuasa-program-rumah-mesra-smj/






