Read Time:1 Minute, 0 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Rakyat di negeri ini dinasihat untuk sentiasa berwaspada susulan keadaan cuaca panas dan kemarau yang melanda ketika ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengusaha dan pekerja ladang khususnya diminta untuk berhati-hati agar tidak berlaku kebakaran dikawasan terbuka.
“Ketika ini kita sedang menghadapi cuaca yang agak panas dan kering. Saya ingin menasihatkan rakyat supaya lebih berhati-hati, terutama mereka yang bekerja di ladang atau melakukan aktiviti luar.
“Musim panas ini menyebabkan kebakaran mudah berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Galeri Polis Negeri Sabah di Kepayan di sini pada Rabu.
Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Menurut beliau, di bawah penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, pemantauan rapi sedang dijalankan walaupun keadaan masih terkawal buat masa ini.
“Kita sentiasa bersedia di bawah penyelarasan pengurusan bencana negeri. Setakat ini, keadaan masih dalam pemantauan dan belum berada pada tahap yang membimbangkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus memantau perkembangan cuaca dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.






