Read Time:1 Minute, 49 Second
LAHAD DATU : Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) bersama Sabah Urban Development Corporation Sdn. Bhd. (SUDC) melancarkan satu pelan pemulihan menyeluruh bagi menghidupkan semula pusat beli-belah Darvel Bay Plaza di sini.
Pelan tersebut diperkenalkan pada Sesi Townhall Darvel Bay Plaza di sini pada Rabu yang diketuai Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong Kein Peng, bersama Ketua Pegawai Eksekutif SUDC, Datuk Afizal Aldin, dan Pengurus Besar SUDC, Anthony Undan Dumpangol.

Sesi townhall yang turut dihadiri pemilik, penyewa dan pembeli unit hartanah di kompleks berkenaan menjadi platform penting untuk memperkukuh komunikasi dua hala antara pengurusan dan para pemegang kepentingan.
James berkata, pusat komersial utama di daerah itu kini dilihat kurang berprestasi namun memiliki potensi besar untuk berkembang sebagai hab perniagaan Pantai Timur Sabah.
Katanya, ia merupakan satu-satunya pusat komersial utama di daerah ini dengan aliran pengunjung yang stabil dan populasi tempatan yang semakin berkembang.

“Saya sendiri telah berbincang dengan beberapa penyewa yang masih mencatat keuntungan yang menjadi bukti bahawa pasaran di sini masih kukuh.
“Bayangkan jika kita berjaya memulihkan kompleks ini, memperbaiki kemudahan, memperkukuh penyertaan penyewa, serta meningkatkan nilai dan daya tarikan — nilai tambah kepada semua pemilik, pelabur dan komuniti Lahad Datu akan meningkat dengan ketara,” katanya.

Menurut James, pelan pemulihan tersebut dirangka dengan kerjasama TS Wong Biz Solutions, sebuah syarikat perunding berpengalaman yang telah berjaya membantu memulihkan beberapa pusat beli-belah berprestasi rendah di Malaysia.
Katanya, pelan itu akan melibatkan strategi pemulihan, keutamaan pembaikan, serta pelan untuk menarik penyewa baharu dan meningkatkan kadar penghunian.
“Kami akui proses ini tidak mudah, tiada jalan pintas, tetapi dengan semangat kerjasama dan kesatuan, saya yakin kita boleh berjaya bersama,” katanya.
Sementara itu, James berkata, SEDCO dan SUDC akan melantik pasukan konsultan profesional pemulihan yang akan menguruskan proses pemulihan Darvel Bay Plaza secara telus dan proaktif.
Selain itu katanya, pihaknya akan menjamin ketelusan dan akauntabiliti, di mana semua pemilik akan dimaklumkan mengenai jumlah kutipan, perbelanjaan dan penggunaan dana.
“Pihak SEDCO dan SUDC akan memberi laporan kemajuan berkala setiap bulan untuk menunjukkan peningkatan sebenar yang dicapai.
“Selain itu, pihak kita juga akan mewujudkan saluran komunikasi terbuka supaya para pemilik dapat memberi maklum balas, mengemukakan cadangan dan berkongsi idea secara terus dengan pihak pengurusan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SEDCO






