Read Time:1 Minute, 4 Second
SANDAKAN: Calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura, Vivian Wong Shir Yee menegaskan tumpuan beliau adalah terus bekerja menyelesaikan masalah rakyat, bukan melayan serangan politik atau fitnah pihak lawan.
Vivian berkata, sepanjang kempen lebih seminggu, pengundi yang ditemuinya meminta agar beliau tidak terjejas dengan serangan di media social, sebaliknya menganggapnya sebagai tanda bahawa reformasi yang dibawa telah menyentuh kepentingan tertentu.
Katanya, pemilihan calon DAP tidak berdasarkan jantina atau latar belakang, tetapi pada kesediaan mereka bekerja, mendengar denyut nadi rakyat dan kemampuan berdepan tekanan.
“Isu berlarutan seperti masalah air Sandakan memerlukan kerjasama semua peringkat kerajaan dan tidak boleh dipolitikkan.
“Saya bukan tamak kerana tindakan saya menyelesaikan masalah luar kawasan. Selagi memberi manfaat kepada rakyat, tugas wakil rakyat tidak wajar dihadkan kepada sempadan kerusi sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada program kempen ‘Malam Pakatan Harapan’ di Dewan Sekolah Menengah Yu Yuan, di sini, malam tadi.
Vivian yang juga Ahli Parlimen Sandakan turut menyentuh cabaran pembangunan Sandakan termasuk kekurangan penerbangan terus dan kapasiti hotel.
Katanya, ia hanya boleh diatasi melalui peningkatan tadbir urus dan pelaksanaan di peringkat negeri.
“Apa yang penting bukan label parti, tetapi kesungguhan calon memahami isu setempat dan kekal bersama rakyat,” katanya.
Beliau turut menggesa pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi dan memilih calon yang komited membawa perubahan kepada Sandakan.






