Read Time:1 Minute, 0 Second
SANDAKAN: Calon Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hazem Mubarak Tun Musa menolak persepsi kedudukan bapanya sebagai Yang di-Pertua Negeri akan memberi kelebihan kepadanya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN17).
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila itu berkata, penyertaannya pada PRN17 itu sebaliknya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.
Hazem berkata, beliau juga sering menjelaskan bahawa peranan Yang di-Pertua Negeri tidak boleh dikaitkan dengan masalah politik atau mana-mana kempen.
“Saya selalu mengatakan bahawa TYT tidak boleh masuk campur dalam politik.
“Beliau adalah ketua negeri kita, beliau tidak boleh berkempen. Jadi isu TYT tidak boleh dimasukkan dalam politik,” katanya dalam pertemuan dengan media di pusat media di sini, hari ini.
Hazem berkata, sekiranya ada pihak yang merujuk kepada zaman pemerintahan bapanya ketika menjadi ketua menteri dahulu, ia adalah berdasarkan rekod pembangunan yang pernah dicapai.
“Kalau mahu cerita tentang beliau semasa menjadi Ketua Menteri, sudah pasti ada banyak pembangunan yang dibawa semasa beliau menjadi wakil rakyat.
“Tetapi bagi saya, saya sendiri hanya ingin berkhidmat,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi nasihat yang diberikan bapanya sebelum beliau menceburi dunia politik.
“Beliau pesan, kalau saya masuk politik, saya mesti bekerja untuk rakyat. Paling penting, dengar suara rakyat dan bela nasib rakyat,” katanya.






