Read Time:1 Minute, 2 Second
SANDAKAN: Kumpulan Sawit Kinabalu menghulurkan sumbangan kepada beberapa rumah kebajikan dan pelajar sekolah menengah sempena majlis Iftar Sawit Kinabalu yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila.
Dalam majlis itu, sumbangan sebanyak RM5,000 disampaikan kepada Sabah Blind Society cawangan Sandakan yang terletak di Pekan Muhibbah Rancangan Sungai Manila bagi membantu persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Selain itu, sebuah pusat perlindungan warga emas, Rumah Sri Harapan di Sandakan turut menerima sumbangan berjumlah RM2,500.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Hazem Mubarak Tun Musa dan disaksikan Pengarah Urusan syarikat itu, Victor Ationg.
Dalam majlis sama, bantuan turut disalurkan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini melibatkan tiga sekolah menengah di kawasan berkenaan.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Libaran menerima sumbangan berjumlah RM6,000, manakala dua lagi sekolah iaitu SMK Gum-Gum dan Maktab Rendah Sains MARA Tun Fuad Stephens turut menerima bantuan bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Bantuan kepada pelajar tersebut disumbangkan oleh Sawit Agrotechnology Sdn Bhd yang diwakili oleh pengarahnya, Alfian Ahmad.
Program berkenaan mencerminkan komitmen Sawit Kinabalu dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan membantu golongan memerlukan serta menyokong usaha pendidikan dalam komuniti setempat.






