Read Time:1 Minute, 45 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang saksi dilihat sebak dan menangis ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner apabila mengenang pengalaman pahit yang pernah dilaluinya semasa menjadi pelajar junior.
Peguam mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Rizwandean M. Borhan, berkata saksi kanak-kanak ke-16 dalam inkues kematian Zara mendedahkan bahawa semasa menjadi pelajar junior, dia pernah diarahkan oleh para pelajar senior untuk membawa pakaian dari bilik seterika ke bilik mereka.
Menurut saksi, perkara ini berlaku beberapa kali.
“Saksi turut menyatakan dia tahu tentang kewujudan MA di asrama dan dia pernah mengalami Mesyuarat Aras (MA) dimana dia dipanggil oleh senior secara beramai-ramai dan mengakui yang akibat daripada MA itu saksi sangat terkesan sehingga hari ini kerana pelajar senior akan kerap menyindir saksi bila terjumpa saksi di mana-mana kawasan sekolah.
“Saksi berkata dia pernah disindir oleh pelajar senior kerana dia merupakan seorang BADAR dan selalu rampas telefon pelajar yang bawa ke sekolah. Mereka menyindir saksi dengan kata-kata “tu na tu jibam”. Jibam bermaksud ”pe-report”. Saksi buat tidak tahu saja dengan komen mereka,” katanya.
Saksi menyatakan bahawa budaya tuduh-menuduh serta tindakan menyerbu atau menyoal siasat pelajar junior dengan cara marah-marah tidak sepatutnya berlaku.
“Ketika memberikan keterangan, saksi dilihat sebak dan menangis apabila mengenang kembali pengalaman pahit semasa menjadi junior termasuk kejadian yang dialaminya ketika dikenakan dalam MA,” katanya.
Menurut saksi, berdasarkan pemerhatiannya, sikap pelajar senior terhadap junior adalah seperti berikut: jika marah, mereka akan terus berjumpa dengan pelajar junior untuk memarahi dan memaki menggunakan kata-kata kesat.
“Saksi berkata pelajar-pelajar senior sebegini menunjukkan contoh tidak baik kepada pelajar junior. Saksi pernah menasihati mereka namun mereka tetap melakukan perkara yang sama.
“Saksi berkata ada seorang guru sekolah, pernah memberi nasihat umum untuk pelajar senior agar jaga mulut dan bercakap baik, sebab pelajar junior akan selalu ikut perangai pelajar senior,” katanya.
Saksi turut menyatakan bahawa warden asrama kurang mengambil berat terhadap pelajar kerana jarang melakukan pemeriksaan di asrama.
“Menurut saksi, selepas kes ini barulah para warden dilihat mula aktif membuat pemeriksaan dengan naik ke atas aras asrama untuk memeriksa para pelajar.”
Prosiding inkues bersambung esok.