Read Time:2 Minute, 44 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kehebatan atlet muda terus menyerlah dalam temasya Sukan Sabah (SAGA) XI apabila Akmal Thaqif Begurdy dari kontinjen Tawau dan Siti Norjahera Beliamor dari kontinjen Sandakan masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SAGA XI Tawau 2025.
Akmal Thaqif, 18, membuktikan keunggulannya dalam sukan berbasikal dengan memenangi lima pingat emas, termasuk empat emas individu dalam acara Ujian Masa Perseorangan, Cross Country Eliminator (XCE), Cross Country Olympic (XCO), 1000 meter dan 200 meter Sprint, serta satu emas dalam acara Ujian Masa Berpasukan.

Kecemerlangan beliau turut diiktiraf dengan penganugerahan khas “Most Valuable Male Athlete” bagi sukan berbasikal.
Ketika ditemui, anak jati Tawau itu mengakui gembira atas penganugerahan buat kali kedua berturut-turut.
“Terima kasih kepada ibu bapa saya yang sentiasa menyokong dari awal hingga sekarang, juga kepada jurulatih saya, Coach JR dan pasukan latihan di Tawau yang banyak membantu sejak saya mula berbasikal,” katanya.

Majlis penutupan temasya Sukan Sabah (SAGA) disempurnakan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Datuk Mansur Asun.
Akmal berkata, beliau turut berkongsi hasrat untuk meneruskan momentum kejayaannya ke peringkat lebih tinggi dengan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan, dalam acara Mountain Bike Cross Country (MTB XCO).
“Lepas ni saya akan terus berlatih bersungguh-sungguh untuk SUKMA. Dalam sukan berbasikal, sukar mahu pecah rekod sebab bergantung pada prestasi individu, jadi saya akan fokus untuk tingkatkan prestasi diri,” katanya.
Penganugerahan itu membolehkan Akmal mencipta sejarah tersendiri apabila mempertahankan gelaran olahragawan yang dimenanginya dua tahun lalu.
Sementara itu, atlet muda berusia 16 tahun dari Sandakan, Siti Norjahera Beliamor berjaya membawa pulang empat pingat emas, masing-masing dalam acara 100 meter, 200 meter, 4×100 meter dan 4×400 meter.
“Saya sangat gembira sebab ini kali pertama saya dapat anugerah macam ni,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau menjangkakan akan dipilih sebagai olahragawati, Siti mengakui tidak menjangka berikutan saingan yang banyak.
“Tidak jangka pun sebab saingan ramai juga. Jadi, saya memang tidak sangka boleh dapat,” katanya.
Beliau mencatat masa 12.48 saat untuk acara 100 meter, dan 25.96 saat bagi 200 meter, selain membantu pasukannya mencatat masa 49.94 saat (4x100m) dan 4:13.25 minit (4x400m).
Walaupun masih muda, Siti sudah mempunyai perancangan besar untuk masa depannya dalam dunia sukan.
“Sasaran saya lepas ini, saya mahu buat yang terbaik lagi dari sebelum ini. Kalau boleh, saya nak capai ke peringkat Malaysia,” katanya.
Siti juga memaklumkan bahawa dia bakal mewakili negeri ke kejohanan ASEAN School Games (ASG) yang akan berlangsung di Brunei.
“Saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa saya dan juga coach saya, Coach Adam, yang sudah latih saya dari kosong sampai saya boleh jadi macam sekarang,” katanya.
Pada Sukan Borneo yang berlangsung di Kuching, Sarawak baru-baru ini, Siti turut berjaya meraih emas menerusi acara 4 x 400 meteri berganti-ganti wanita bersama rakan sepasukan Hizillawanty Jamain; Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dan Nur Aishah Rofina Aling.
Kejayaan kedua-dua atlet muda ini melambangkan semangat dan potensi besar generasi baharu atlet Sabah dalam mengharumkan nama negeri di pentas lebih tinggi pada masa hadapan.
Sukan Sabah XI yang berlangsung di Tawau tahun ini menyaksikan penyertaan atlet dari seluruh daerah dengan semangat kesukanan dan perpaduan yang tinggi. – SABAH MEDIA