TAWAU : Seramai 500 atlet termasuk jurulatih dan pengiring menyertai pertandingan sukan elektronik (e-Sukan) sempena temasya Sukan Sabah (SAGA) XI 2025.
Pengarah Pertandingan, Usman Ibrahim berkata pertandingan tersebut berlangsung selama enam hari bermula hari ini dengan taklimat kontinjen diadakan pada 10 Oktober.

“Ini merupakan penganjuran kali kedua selepas edisi pertama di Kota Kinabalu pada 2023. Tiga jenis permainan dipertandingkan iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), e-Football dan Tekken.
“Untuk MLBB lelaki ada 26 daerah dan wanita 19 daerah, e-Football sebanyak lapan daerah untuk kategori wanita dan lebih kurang 20 pasukan lelaki manakala Tekken hanya kategori lelaki sahaja.

“Sebanyak lima pingat emas ditawarkan berbanding enam yang dirancang pada awalnya,” katanya ketika ditemui media di Dewan Kolej Tingkatan Enam di sini, pada Sabtu.
Beliau berharap penyertaan akan terus meningkat dan e-Sukan mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak.-