Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

SAFA komited perkasa pembangunan bola sepak Sabah

Read Time:1 Minute, 46 Second

PUTATAN: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) komited untuk memperkasa pembangunan bakat baharu serta pengurusan sukan bola sepak secara menyeluruh menerusi pelaksanaan pelbagai program strategik di seluruh negeri.

Presiden SAFA Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia termasuklah usaha bagi mencungkil bakat muda dari seluruh daerah di negeri ini.

Selain itu katanya, SAFA juga mahgu membangunkan pemain sedia ada melalui program berstruktur dan berperingkat.

“Selain pembangunan pemain, SAFA juga memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan dan pengurusan bola sepak.

“Ini termasuk aspek kejurulatihan, perubatan sukan dan pentadbiran bagi memastikan ekosistem bola sepak Sabah terus berkembang secara profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Kongres Kali Ke-13 SAFA Tahun 2025 yang berlangsung di sini pada Sabtu.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, SAFA mencatat pencapaian membanggakan dalam bola sepak wanita, apabila pasukan wanita Sabah pernah muncul sebagai juara dan naib juara di peringkat kebangsaan, selain berjaya melayakkan diri ke peringkat pertandingan Asia di China pada tahun lalu.

Dalam pada itu katanya, prestasi pasukan futsal lelaki Sabah juga menunjukkan perkembangan positif dan akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa.

Mengulas mengenai perkembangan terkini bola sepak negeri, Shahelmey berkata Sabah FC berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA selepas penantian selama kira-kira 27 tahun dan bakal menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru penyokong Sabah FC khususnya yang berada di Lembah Klang agar hadir ke stadium bagi memberikan sokongan moral kepada pasukan, selain menggalakkan peminat yang tidak berkesempatan hadir untuk mengikuti siaran langsung di televisyen.

“Sokongan padu penyokong sebagai pemain ke-12 amat penting untuk menaikkan semangat dan motivasi pasukan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kesediaan pemain Sabah FC menjelang perlawanan akhir, selepas pertemuan bersama Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan serta barisan kejurulatihan dan pemain pasukan itu baru-baru ini.

Menurutnya, kehadiran semula pemain utama seperti Darren Lok dan Daniel Ting yang sebelum ini mengalami kecederaan dijangka memberi impak positif kepada prestasi pasukan.

“Insya-Allah, kita percaya Sabah FC akan mempamerkan permainan berkualiti dengan semangat juang yang tinggi pada perlawanan akhir nanti,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE