Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah tuntut hak sewajarnya, bukan bebankan Persekutuan


Read Time:2 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU: Tuntutan Sabah dan Sarawak terhadap hak kewangan serta hasil negeri bukanlah satu bentuk desakan berlebihan, sebaliknya berasaskan hak yang termaktub dalam semangat pembentukan Persekutuan Malaysia.

Pemangku Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Azrul Ibrahim berkata, pandangan yang menyuarakan kebimbangan bahawa tuntutan berkenaan boleh menjejaskan kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan wajar dihormati. 

Namun katanya, perbahasan tersebut perlu dilihat dalam kerangka yang adil dan berprinsip, dengan mengambil kira hak yang telah sekian lama tertangguh.

“Antara isu yang dibangkitkan ialah hak Sabah terhadap pemberian khas Persekutuan serta pendirian Sarawak berkaitan kesahihan perlembagaan dan pemakaian undang-undang petroleum. 

“Secara matematik, sebarang pelarasan yang memihak kepada negeri sudah tentu memberi implikasi kepada hasil Persekutuan. Namun persoalan asasnya ialah sama ada pertimbangan fiskal harus terus dijadikan alasan untuk menangguhkan hak yang sewajarnya dilaksanakan.

“Selepas lebih lima dekad pembentukan Malaysia, jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak berbanding negeri-negeri di Semenanjung masih ketara,” katanya.

Beliau berkata, di Sabah khususnya, isu asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jaringan jalan raya terus menjadi cabaran harian rakyat, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata, masih terdapat kampung yang sukar diakses melalui jalan darat, sistem perhubungan antara daerah yang belum tersusun menyeluruh serta capaian internet yang jauh ketinggalan. 

Selain itu katanya, Projek Lebuhraya Pan Borneo Highway pula hanya bermula sekitar 2017, sedangkan negeri-negeri di Semenanjung telah lama menikmati sistem perhubungan moden. 

” Peruntukan penyelenggaraan jalan Persekutuan yang tidak mencukupi turut memburukkan keadaan apabila keperluan sebenar jauh melebihi jumlah yang diluluskan.

“Walaupun usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu pembangunan di Sabah dan Sarawak diakui, realitinya penyelesaian menyeluruh masih belum dicapai. 

“Sabah memerlukan suntikan dana lebih besar serta fleksibiliti pentadbiran lebih luas untuk mengurus dan menyelesaikan masalah legasi yang berlarutan sekian lama.

” Pembangunan Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dilihat sebagai beban fiskal, sebaliknya sebagai pelaburan strategik untuk memperkukuh ekonomi negara secara keseluruhan,” ‘katanya.

Sementara itu, Azrul berkata, sekiranya Kota Kinabalu dan Kuching membangun dengan sistem pengangkutan moden, infrastruktur bertaraf dunia dan mercu tanda ekonomi signifikan, manfaatnya akan dirasai oleh seluruh negara.

Katanya, Kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak diyakini tidak berniat melemahkan kedudukan kewangan Persekutuan.

Sebaliknya, Azrul berkata, pendekatan rundingan matang dan semangat federalisme yang tulen perlu dijadikan asas merangka formula lebih adil serta pragmatik.

Tegasnya, tuntutan ini bukan untuk meminta lebih daripada yang sewajarnya. 

“Ia adalah usaha menuntut hak yang telah lama menjadi asas penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan — demi memastikan kedua-dua wilayah itu benar-benar dilayan sebagai rakan setara, bukan sekadar pada lafaz, tetapi pada pelaksanaan dan hasil pembangunan yang dirasai rakyat,” katanya. – 

LEAVE A RESPONSE