Read Time:1 Minute, 47 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Sabah dijangka tidak terkesan secara signifikan oleh krisis tenaga global susulan konflik di Timur Tengah, namun kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil langkah sewajarnya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri telah dimaklumkan mengenai situasi semasa melalui mesyuarat khas melibatkan Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipanggil oleh Perdana Menteri.
Menurut beliau, taklimat tersebut menyentuh cabaran yang sedang dihadapi bukan sahaja Malaysia, tetapi juga negara-negara lain akibat konflik melibatkan Iran yang memberi kesan kepada bekalan tenaga serta kestabilan ekonomi global.
“Antara yang dibincangkan termasuk kemungkinan berlakunya krisis tenaga di beberapa negara serta tekanan ekonomi susulan kenaikan harga minyak dan barangan.
“Kita diminta untuk memantau keadaan ini dan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri bersama rakan-rakan media Sabah di sini, pada Sabtu.
Hajiji berkata, kerajaan Persekutuan turut mengarahkan langkah penjimatan tenaga termasuk cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam bermula pertengahan April.
“Langkah ini bertujuan menjimatkan penggunaan tenaga dan mengurangkan perbelanjaan. Ia bukan sahaja melibatkan kerajaan, tetapi juga memerlukan pemahaman dan kerjasama rakyat,” katanya.
Beliau berkata, walaupun konflik berlaku jauh di Timur Tengah, kesannya tetap dirasai di seluruh dunia termasuk dari segi ekonomi dan tenaga.
“Kita sentiasa memantau perkembangan ini. Kerajaan juga akan melihat keadaan semasa dan jika ia berlarutan, kemungkinan kita turut terkesan,” katanya.
Bagaimanapun, Hajiji menjelaskan Sabah berada dalam kedudukan yang lebih stabil dari segi bekalan tenaga elektrik.
“Di Sabah, kapasiti tenaga elektrik kita sekitar 1,400 megawatt (MW), dengan kira-kira 1,100 MW dijana menggunakan gas. Ini bermakna kita tidak terlalu bergantung kepada sumber luar yang terjejas akibat konflik.
“Namun, sekitar 300 MW masih bergantung kepada diesel. Jika harga diesel meningkat, ia boleh memberi kesan kepada kos dan bekalan tenaga di negeri ini,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah masih menerima subsidi yang membantu mengurangkan beban kos tenaga.
Mengulas kemungkinan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) di peringkat negeri, Hajiji berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri.
“Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet akan datang. Jika ada keperluan, kita akan laksanakan,” katanya.






