Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Sabah terus perluas capaian ilmu melalui pembinaan perpustakaan di Kota Marudu

Read Time:2 Minute, 2 Second

KOTA MARUDU: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh akses ilmu kepada masyarakat luar bandar menerusi pembinaan Bangunan Baharu Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kota Marudu.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata kemudahan seperti ini amat penting dalam merapatkan jurang akses maklumat antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Menurutnya, perpustakaan bukan lagi sekadar tempat menyimpan buku, sebaliknya kini berfungsi sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat, hab komuniti serta pusat rujukan maklumat digital serta ruang inovasi yang menyokong pembangunan modal insan dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Majlis pelancaran pecah tanah Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kota Marudu bukan sekadar simbolik kepada pembinaan sebuah bangunan yang baharu, tetapi lebih besar daripada itu. Ia lambang komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh akses pendidikan, memperkasa budaya literasi dan memastikan rakyat di setiap daerah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ilmu dan teknologi.

“Pembinaan bangunan baharu ini akan menyediakan kemudahan yang lebih kondusif, selesa dan inklusif kepada masyarakat di Kota Marudu khususnya para pelajar, belia, usahawan kecil dan komuniti setempat.

“Kita mahu melihat perpustakaan ini menjadi ruangan ilmu yang sentiasa dikunjungi dan dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran pecah tanah berkenaan, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan pendidikan, sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu kemajuan negeri.

“Saya yakin dengan perancangan yang teliti serta kerjasama semua pihak, projek ini akan dilaksanakan dengan lancar dan menepati spesifikasi yang ditetapkan. Kita mahu bangunan ini bukan sahaja berdiri megah dari segi fizikal, tetapi turut berfungsi secara optimum dalam memenuhi keperluan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau turut menegaskan budaya membaca dan literasi digital perlu terus diperkukuh kerana keupayaan menilai, memahami dan menggunakan maklumat secara bijaksana amat penting dalam dunia tanpa sempadan maklumat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat 25 cawangan perpustakaan dan 73 perpustakaan desa di seluruh Sabah yang terus berperanan membentuk masyarakat celik maklumat, berfikiran kritis dan berdaya saing.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih serta warga kerja perpustakaan negeri yang sentiasa berusaha memperkasakan perkhidmatan perpustakaan negeri kepada seluruh masyarakat.

Menurutnya, pelaburan dalam ilmu merupakan pelaburan paling berharga demi masa depan negeri dan generasi yang mampu menyahut aspirasi Sabah Maju Jaya.

“Marilah kita bersama-sama menyokong usaha murni ini agar perpustakaan terus menjadi institusi yang dihormati dan relevan, serta mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui pengukuhan budaya literasi dan ilmu pengetahuan,” katanya sambil merakamkan penghargaaan kepada semua agensi-agensi terlibat yang telah berusaha merealisasikan projek ini.

LEAVE A RESPONSE