Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Sabah tambah Pusat Autisme, RM670,000 diperuntukkan

Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Sabah memperuntukkan RM670,000 bagi menambah bilangan Pusat Autisme Sabah (PAUS) di negeri ini, kata Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata, pusat berkenaan yang menyediakan pendidikan awal berkualiti dan mampu milik kepada kanak-kanak autisme berusia tiga hingga tujuh tahun akan diwujudkan di Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort secara berfasa mulai tahun hadapan.

“PAUS Kota Kinabalu (Sembulan) telah diwujudkan dan sedang beroperasi dengan baik serta berjaya menempatkan seramai 55 orang kanak-kanak Autisme di Kota Kinabalu,” katanya ketika membentangkan belanjawan negeri pada Jumaat.

Masidi menambah bahawa sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk program Kasih dan Kongsi, yang diperkenalkan pada 2026 bagi membantu usaha transformasi pendidikan awal kanak-kanak di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak di pedalaman Sabah.

Kerajaan negeri juga akan meneruskan program Homeward bagi membantu golongan rentan, seperti pesakit terlantar dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Selain itu, RM71.29 juta diperuntukkan untuk Program Bantuan Kebajikan yang meliputi Skim Bantuan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, Skim Bantuan Anak Yatim serta Program Bantuan Makanan Kepada Golongan Daif dan Miskin.

Kerajaan juga memperuntukkan RM4.02 juta Bantuan Yuran Kesihatan Caj Rawatan Hemodialisis di fasiliti kesihatan Kerajaan bagi menampung seramai 2,182 pesakit buah pinggang.

Bagi memastikan bantuan cepat semasa kecemasan, RM10.05 juta diperuntukkan di bawah Tabung Rayuan Derma-Derma untuk menampung bantuan kepada mangsa kejadian bencana alam seperti kebakaran, banjir, tanah runtuh dan sebagainya.

Inisiatif berfokus kebajikan ini adalah sebahagian daripada peruntukan RM173.56 juta Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), serta Jabatan dan Agensi di bawahnya bagi melaksanakan agenda kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

LEAVE A RESPONSE