Read Time:1 Minute, 26 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) merintis usaha strategik bagi melaksanakan program universiti berkembar dengan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, usaha itu bagi membuka peluang besar kepada pelajar di negeri ini dalam bidang pendidikan Islam bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata, usaha itu dicapai hasil lawatan rasmi delegasi Sabah ke Kaherah baru-baru ini selain permuafakatan penting telah dipersetujui, termasuk kesediaan Universiti Al-Azhar menawarkan biasiswa kepada pelajar dari Sabah.
“Pelajar yang terpilih akan ditempatkan di Mahaad Buus Islamiah, iaitu asrama antarabangsa Universiti Al-Azhar yang menghimpunkan pelajar dari pelbagai negara.

“Ini sekali gus membantu penguasaan bahasa Arab dan kefahaman budaya Islam antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada menyempurnakan Program Konvensyen Al-Quran Sempena Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah di sini, pada Selasa.
Arifin yang juga Exco Agama berkata, selain tawaran biasiswa, program universiti berkembar bersama Universiti Al-Azhar dijangka memberi manfaat besar kepada pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang pengajian Islam, dakwah dan kepimpinan agama.
Katanya, kerjasama itu akan diselaras oleh MUIS dan JHEAINS, dengan Jawatankuasa Susulan dipengerusikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Isnin Aliasneh bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan berjalan lancar.
Dalam pada itu, Arifin berkata, Universiti Al-Azhar juga bersetuju menerima pegawai agama, pendakwah serta pegawai berkaitan dari Sabah untuk mengikuti program latihan dan kefahaman Islam dalam tempoh beberapa minggu atau bulan di Kaherah.
“Sasaran awal kerjasama ini adalah untuk merealisasikan sekurang-kurangnya dua daripada tiga inisiatif utama yang dipersetujui dalam tempoh setahun, selaras dengan hasrat memperkukuh jaringan pendidikan Islam Sabah di peringkat antarabangsa,” katanya. – SABAH MEDIA






