Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Sabah pertahan kejuaraan SOPMA ke-22 di Sarawak

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU : Sabah berjaya mengekalkan gelaran juara keseluruhan pada temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) ke-22 yang berlangsung di Kuching, Sarawak.

Kontinjen Sabah menamatkan kejohanan dengan pungutan 17 pingat emas, 13 perak dan 8 gangsa, mengatasi tuan rumah Sarawak (9 emas, 4 perak, 7 gangsa) dan Wilayah Persekutuan (7 emas, 6 perak, 10 gangsa).

Kejayaan gemilang itu diraikan dalam Majlis Penutupan Rasmi SOPMA ke-22 yang diadakan di Imperial Grand Ballroom, Imperial Hotel Kuching, malam tadi.

Majlis penutupan disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah.

Turut diumumkan insentif khas kepada para pemenang pingat iaitu RM5,000 bagi emas, RM2,000 bagi perak dan RM1,000 bagi gangsa sebagai penghargaan atas semangat dan pengorbanan semua atlet yang bertanding.

Kejohanan kali ini turut menyaksikan atlet olahraga, Azlan Kuste dinobatkan sebagai Olahragawan SOPMA ke-22 Sarawak 2025 selepas mempamerkan prestasi luar biasa.

Atlet berusia 24 tahun itu bukan sahaja memenangi tiga pingat emas, malah mencipta tiga rekod baharu kejohanan dalam acara 800m Lelaki – 2:02.88 (Rekod Baharu Kejohanan); 1,500m Lelaki – 4:23.46 (Rekod Baharu Kejohanan) dan 4x400m Lelaki – Bersama Kuartet Sabah (Rekod Baharu Kejohanan).

Azlan sebelum ini pernah mewakili Malaysia ke Kejohanan Olahraga Pekak Asia Pasifik di Tehran dan SEA Deaf Games Jakarta 2025, dan kini terus menjadi inspirasi kepada atlet muda seluruh negeri.

Sementara itu, Majlis Sukan Negeric(MSN) Sabah dalam hantaran di Facebook turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak, Tan Sri (Dr.) Abang  Johari Tun  Openg, atas penganjuran temasya yang tersusun dan penuh bermakna, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan antara negeri.

Dengan sokongan kerajaan negeri dan penganjur yang komited, SOPMA ke-22 bukan sekadar kejohanan, tetapi satu perayaan semangat kesukanan, persahabatan dan kecekalan. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE